PERGINYA SEORANG PAHLAWAN GAGAH BERANI - KANANG ANAK LANGKAU
Negara kita telah kehilangan lagi seorang pewira negara yang gagah berani serta menjadi ketakutan kepada pihak komunis suatu ketika dahulu.


Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau diibaratkan sebagai ‘Rentap’ iaitu seorang pahlawan Iban negeri Sarawak yang cukup gagah perkasa. Kanang yang lahir pada tahun 1945 iaitu pada 2 Mac, merupakan seorang perajurit yang terkenal, namanya meniti dari bibir ke bibir setiap anggota tentera yang berkhidmat serta menjadi ikon sebagai pencetus semangat juang di kalangan mereka dalam mempertahankan negara.

Dilahirkan di Karangan Manuk Nanga Meluan, Sarawak, Kanang menyertai Renjer Sarawak dalam pasukan Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Beliau merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik. Kanang bersekolah higga Darjah Tiga di “Local Authority”. Kemudiannya, dia melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, menoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin. Pada 21 April 1960, dia telah berjaya dalam temu duga dan diterima menjadi tentera sebagai Iban Tracker.

Kanang berkahwin dengan Helen Latai Anak Intie dan dikurniai enam orang anak. Kanang meneruskan khidmatnya dengan Rejimen Ranger dan seterusnya dilantik sebagai eskut. Pada 1 Januari 1966, dia dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal. Pada bulan Mac 1973, dia bepindah ke Kem Terentak Melaka dan berkhidmat dalam Batalian Kelapan Rejimen Ranger. Di sana, dia dinaikkan pangkat sebagai ketua seksyen.

Antara sejarah yang melibatkan Kanang anak Langkau ialah tragedi di Tanah Hitam,Perak di Pos Legam dan Pos Yom menentang komunis dimana Kanang hampir menemui ajal semasa bertempur dengan pihak musuh.

Ketika itu, beliau memimpin pasukan Platun Perisikan Pertempuran Unit dalam Renjer DiRaja Batalion Ke-8 ditugaskan mencari kedudukan musuh setelah kematian seorang askar di kawasan tersebut.

“Luka terkena tembakan di tubuh saya mungkin sudah sembuh, tetapi luka di hari kerana sedih mengenangkan rakan yang gugur tidak pernah reda” katanya ketika menceritakan detik beliau bertempur dengan komunis antara 1963 hingga 1986.

Dalam operasi mengesan itu, pasukan Kanang telah diserang oleh musuh setelah pasukannya memasuki kawasan tempat musuh berkhemah. Dalam pertempuran itu, dikatakan salah seorang anggota mereka telah terkena tembakan dan mengalami kecedaraan parah.
          Malah, Kanang sendiri juga telah terkena 3 das tembakan yang mana telah mengenai jantung, merosakkan buah pinggang dan usus perut beliau terburai keluar. Namun, kerana kekuatan semangat beliau dalam menentang musuh negara, beliau terselamat setelah 14 bulan ditempatkan di hospital dan kembali bertugas seperti biasa setelah sembuh kembali.
Kanang kemudiannya bersara dari perkhidmatan pada tahun 1986 setelah berkhidmat selama 21 tahun dengan menjawat jawatan pegawai waran 1 sebagai jawatan terakhir beliau.

Oleh kerana jasa beliau kepada tanah air, pada 3 Jun 1981, beliau telah dianugerahkan dengan 2 anugerah iaitu Panglima Gagah Berani (PGB) dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang telah diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah pada masa itu.

Beliau telah dikurniakan dengan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng.

Antara sumbangan utama beliau selepas bersara ialah menjayakan Ops Mai Pulai (Ops Bawa Balik). Melalui operasi berkenaan, rangka 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung dan Singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963 dibawa balik ke Sarawak untuk dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuching pada 27 Julai 2011.

Pencetus idea mengenai operasi itu, iaitu Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah berkata, Kanang memainkan peranan penting dalam usaha itu malah menganggotai jawatankuasanya sejak 2009.

Katanya, Kanang merupakan seorang yang  komited walaupun operasi berkenaan pada mulanya hampir menemui kebuntuan sebelum penglibatan Kerajaan Negeri Sarawak.
Kanang juga menganggotai operasi penggalian kubur-kubur pejuang terbabit di Kuala Lumpur dan Taiping, Perak malah menyempurnakan upacara khas “Mirig Nyambut Bujang Berani Turun Sembilan”, ujarnya.

Namun, pada hari ini kita telah kehilangan beliau, dan kita yakin serta percaya bahawa ramai lagi golongan muda yang mampu menjadi seperti Kanang Anak Langkau dalam mempertahankan tanah air dari segala anasir jahat dan tidak bertanggungjawab.



Comments (0)