Kehidupan sebagai pelajar universiti sememangnya berbeza
jika dibandingkan ketika berada di sekolah dahulu. Di zaman sekolah tidak
memerlukan duit yang banyak, berbeza apabila seseorang itu sudah diterima masuk
ke universiti. Sebagai seorang pelajar universiti yang sedang melalui fasa
peralihan persekitaran, tentunya keinginan untuk membeli tidak dapat
dielakkan. Melalui satu kaji selidik yang telah dijalankan oleh seorang
penyelidik ke atas 165 orang pelajar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM),
mendapati pelajar lelaki lebih gemar untuk memperuntukkan wang lebih untuk
perbelanjaan makanan, pakaian, hiburan, alat-alat tulis, rekreasi, pengangkutan
dan perubatan. Manakala pelajar perempuan pula lebih gemar membelanjakan wang
mereka untuk tujuan alat-alat kosmetik, bil telefon, hadiah dan lain-lain
seperti barang kemas dan membeli majalah hiburan. Namun kekangan hidup
sebagai pelajar, menyebabkan ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa menolak
kesemua keinginan ini ke tepi dahulu. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa
sering tidak mencukupi dan wang pinjaman PTPN atau biasiswa pula awal-awal lagi
sudah lari daripada bajet. Jika diolak-tolak dengan yuran pengajian, duit
buku, bayaran sewa rumah bagi yang duduk di luar kampus dan sebagainya, mungkin
baki wang yang tinggal hanya cukup-cukup untuk duit makan.
Namun bagi sesetengah pelajar pula, ada yang dalam kalangan
mereka ini yang sanggup untuk bersusah payah dengan melakukan kerja secara
sambilan. Mereka bekerja untuk memperoleh wang tambahan semata-mata atas
keinginan untuk membeli barangan yang dihajati. Ada yang sanggup bekerja di
cawangan restoran makanan segera, menjadi juruwang di kedai-kedai serbaneka,
bekerja di pasar raya dan sebagainya. Namun tidak kurang juga yang
melibatkan diri dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan. Mereka ini
kebanyakannya menceburi bidang perniagaan atas sebab seperti:-
· Untuk
menampung kos perbelanjaan seharian ketika berada di universiti
· Tidak
mahu mensia-siakan masa yang terluang, terutamanya ketika cuti semester
· Dapat
belajar pelbagai perkara baru dan dapat menimba pengalaman dalam bidang
perniagaan
· Dengan
menceburi bidang perniagaan, maka tentulah lebih ramai kenalan yang kita dapat
Melalui artikel ini, kita singkap beberapa jenis perniagaan
yang kebiasaannya diceburi oleh para pelajar universiti tempatan, antaranya:-
Menawarkan Servis Jualan Secara Konvensional atau
Jualan Dalam Talian
Ramai pelajar yang memenuhi masa senggang mereka dengan
berkecimpung dalam bidang perniagaan tidak kira sama ada perniagaan yang
berbentuk konvensional atau secara dalam talian. Ada pelajar yang
memulakan kemahiran berniaga mereka dengan menjual tambah nilai prabayar talian
telefon bimbit. Menambah nilai untuk telefon bimbit merupakan perkara
yang wajib dilakukan oleh setiap pelajar untuk berhubung dengan ibu bapa, rakan
dan juga buah hati. Menjual tambah nilai di universiti ini memang
untung, pelajar suka bergayut di telefon dan suka menghantar sms.
Tambahan pula kalau duduk di kolej kediaman, tentunya pelajar ini malas hendak
keluar ke kedai semata-mata untuk membeli kad tambah nilai. Dengan modal
permulaan untuk menjadi ejen yang rendah dan hanya perlu melakukan sedikit
promosi kepada rakan-rakan, pelajar tadi sudah mampu memulakan perniagaan
tambah nilai mereka. Namun keuntungan yang diperoleh daripada menjual tambah
nilai ini tidak banyak, rata-rata ejen hanya akan mendapat 3% – 4% sahaja
daripada kos jualan. Contohnya, jika pelanggan menambah nilai prabayar sebanyak
RM10, ejen hanya akan mendapat RM0.30 – RM0.40 sahaja. Namun, sekiranya
pelajar itu rajin dan mempunyai pelanggan yang ramai, maka semakin banyak
jualan yang dibuat, semakin untunglah dia. Sekurang-kurangnya dapatlah
menampung semula kos tambah nilai untuk telefon bimbit sendiri.
Kaedah membeli dan menjual dalam talian pula, mula menarik
perhatian masyarakat kita sejak lebih dua dekad yang lalu. Bagi mereka
yang berkira wang, kos pergi ke bandar, mengisi petrol kereta, letak kereta dan
makan-makan sepanjang membeli-belah dirasakan lebih tinggi berbanding dengan
hanya menekan tetikus dan menurunkan maklumat kad kredit dalam talian di
rumah. Bagi mereka, urusan membeli secara dalam talian ini sebenarnya
lebih mudah dan harga barangan yang ditawarkan juga ada kalanya lebih murah
berbanding yang dijual di kedai atau pasar raya sedangkan jenis pakaian adalah
sama. Bagi pelajar yang bijak berniaga, tentunya mereka tidak akan
ketinggalan untuk menceburi bidang perniagaan dalam talian ini. Ramai
yang terlibat menjual busana Muslimah seperti jubah, baju kurung, t-shirt,
tudung dan sebagainya. Ada juga yang terlibat dalam bidang kulinari, akan
memasarkan produk makanan mereka secara dalam talian. Mereka ini ada kalanya
hanya perlu ada akaun Facebook sebagai senjata utama dalam perniagaan mereka
ditambah dengan sikap dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Terdapat juga dalam kalangan pelajar yang menceburi bidang
Multi-Level Marketing (MLM) ketika masih dalam pengajian. Salah satu
faktor penglibatan pelajar adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya dan dorongan
ejen MLM yang berjaya menarik minat pelajar berkenaan. Sesiapa yang
pernah mengikuti taklimat berkaitan MLM, tentunya setuju bahawa yang mendengar
taklimat ini kalau tidak kuat imannya tentu akan mudah terpengaruh dengan
keistimewaan yang ditunjukkan. Terdapat juga pelajar yang menjadi ahli
kerana mereka adalah pengguna produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat MLM
tersebut. Dengan menjadi ahli dalam syarikat MLM, maka produk akan dapat dibeli
dengan harga keahlian. Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar ini terlibat
menjadi ejen jualan langsung, banyak masa yang perlu diperuntukkan dan
dihabiskan untuk memberi penerangan serta membuat demonstrasi tentang produk
yang dijual. Maka adalah sesuatu yang kurang bijak untuk seorang
pelajar menceburi perniagaan MLM, melainkan sekiranya pelajar tersebut seorang
yang pandai menguruskan masanya sendiri.
Melalui Penulisan
Penulisan adalah merupakan salah satu cara yang amat
berkesan untuk menjana pendapatan terutamanya bagi pelajar yang memerlukan wang
saku. Ada dalam kalangan pelajar yang menyediakan perkhidmatan penulisan
di waktu lapang mereka atau ketika mereka berada dalam cuti semester.
Antara perkhidmatan yang boleh ditawarkan adalah seperti menaip tugasan atau
tesis untuk pelajar lain, menulis artikel untuk laman web, memberi servis
penulisan kreatif atau membuat terjemahan artikel atau buku. Ada juga
yang menghantar karya-karya penulisan mereka ke majalah atau akhbar untuk
slot-slot rencana ataupun cerpen.
Menulis tidak hanya terhad kepada contoh-contoh di atas
sahaja yang lebih bercorak kreatif. Selain itu, terdapat ramai pelajar
yang mempunyai minat dan berkecenderungan untuk menulis secara aktif dalam blog
mereka sendiri. Blog merupakan satu medium untuk menyalurkan
pendapat, berkongsi pengetahuan, memberikan informasi kepada orang ramai.
Terdapat pelbagai jenis blog yang mendapat sambutan yang dibuat
berdasarkan niche tertentu seperti hiburan, muzik dan yang
peribadi. Di samping menulis blog sebagai hobi, blog juga dilihat sebagai
salah satu cara yang dapat memberi pelajar tadi pendapatan pasif. Melalui
sumber pengiklanan dalam sesebuah blog, wang yang diperoleh sudah tentunya akan
masuk ke kocek pemilik blog sendiri. Pelajar yang memiliki blog juga
boleh mendaftar untuk iklan daripada Google – AdSense ataupun Nuffnang yang
kebiasaannya akan dipaparkan pada banner blog itu sendiri. Contohnya
untuk iklan Nuffnang, terdapat dua cara untuk menjana pendapatan, iaitu secara
buffered earning atau metered earning. Buffered earning adalah pendapatan
yang diperoleh melalui jumlah trafik blog setiap hari. Melalui metered
earning pula, setiap klik yang unik akan diberi sagu hati. Pendapatan ini
akan diberikan secara bulanan dalam bentuk cek kepada penulis blog
tersebut. Di samping itu, pemilik blog juga boleh membuat ulasan tentang
produk sama ada perkhidmatan, produk fizikal atau digital dan secara tidak
langsung dapat mempromosikan blog mereka sendiri. Mungkin setelah
terkenal, akan ada pihak yang membayar untuk mengulas produk keluaran syarikat
mereka sendiri pula!
Menawarkan Servis Perkhidmatan
Bagi pelajar yang mempunyai kemahiran, ramai juga yang
menawarkan khidmat yang berkaitan dengan kemahiran mereka. Antara contoh
perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti khidmat membaiki komputer, membuat
laman web, khidmat fotografi dan video untuk majlis formal dan yang tidak
formal. Servis perkhidmatan sebenarnya amat menguntungkan, kerana tiada
modal permulaan yang diperlukan oleh pelajar, hanya memerlukan kemahiran mereka
dalam sesuatu bidang itu sahaja. Untuk pelajar yang mempunyai kebijaksanaan
dalam sesuatu subjek pula, ada yang akan diupah rakan pelajar lain untuk
memberikan mereka perkhidmatan tuisyen secara persendirian.
Selain itu, bagi mereka yang mempunyai pencetak mereka
sendiri pula, ada juga yang menawarkan khidmat mencetak untuk tugasan atau
tesis pelajar sendiri. Kebiasaannya harga yang ditetapkan, tidak lah
tinggi. Mungkin sama harganya berbanding dengan yang dikenakan oleh kafe
siber atau kedai-kedai yang terdapat di universiti.
Kesimpulan
Tidak dinafikan pengalaman belajar di universiti memang
berharga. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan pelajar juga diberi
kebebasan untuk menentukan banyak hal dalam kehidupan mereka. Selain itu
pelajar perlu berdikari menguruskan hidup sama ada dari aspek belajar, kewangan
dan sebagainya. Jika dilihat daripada aspek kewangan, bukan mudah untuk
pelajar ini tadi memenuhi tuntutan keperluan dan kemahuan. Ada pelajar
yang sanggup bekerja untuk menjana pendapatan sampingan. Ada juga pelajar yang
melibatkan diri mereka dalam bidang keusahawanan demi untuk mencari duit
lebih. Dalam Islam sendiri, aktiviti ekonomi yang berbentuk perniagaan
amatlah digalakkan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar ini
cenderung untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, antaranya adalah seperti
minat terhadap mata pelajaran perdagangan dan keusahawanan, persepsi positif
dan minat pelajar terhadap bidang keusahawanan serta dorongan dan galakan
daripada ibu bapa sendiri.a
Terdapat beberapa contoh perniagaan yang dijalankan oleh
pelajar, antaranya menawarkan servis penjualan secara konvensional atau
penjualan dalam talian, menawarkan khidmat penulisan dan menawarkan servis
perkhidmatan. Bagi mereka, yang penting rezeki yang diperoleh dapat menampung
kos perbelanjaan mereka ketika di universiti. Namun begitu pembahagian
masa dan disiplin adalah perkara yang sangat penting bagi seorang mahasiswa dan
mahasiswi. Bagi mereka yang terlibat secara serius dalam bidang
keusahawanan pada peringkat pengajian ini, mereka sebenarnya terdedah kepada
risiko penangguhan dan kegagalan menamatkan pengajian. Mahasiswa dan
mahasiswi yang cuba menjana pendapatan dengan melakukan kerja sampingan dan
menjalankan perniagaan ketika masih di universiti ini perlulah sentiasa
diingatkan agar pandai menjaga masa dan seterusnya boleh menjaga segala
aktiviti mereka dengan lebih terurus.
21:41 |
Category: |
0
comments
Comments (0)